Jangan sesekali kalian setuju dengan kebathilan..jangan sesekali kalian benarkan kebathilan..jangan sesekali kalian bersama dengan kebathilan..jangan sesekali kalian campuri kebenaran dengan kebathilan..jangan sesekali kalian meletakkan kebathilan melepasi kebenaran..barulah kalian menjadi orang yang benar di atas kebenaran..

Saturday, 24 November 2012

Wafatnya Al-Masih Isa ibnu Maryam??


Wafatnya al-Masih Isa ibnu Maryam?? (Siri 2.0)
- Pandangan Daripada Sumber-Sumber Islam
Nabi Isa adalah satu-satunya al-Masih yang telah dijanjikan Allah. Kewafatannya merupakan satu tajuk yang menarik sekali di kalangan umat Islam. Ada yang berhemat bahawa dia tidak mati dibunuh tetapi diselamatkan oleh Tuhan di saat-saat terakhir, ada pula yang berkata sememangnya al-Masih `Isa ibnu Maryam itu sudah pun mati dengan kerelaan Tuhan. Sebenarnya, al-Quran sendiri telah mengesahkan hakikat ini secara muktamad dan jelas.

Kisah kewafatan al-Masih Isa ibnu Maryam siri 2.0 kali ini merujuk kepada beberapa sumber-sumber yang sahih lagi berautoriti dan berwibawa seperti al-Quranul-Karim, Hadith-hadith sahih serta tafsir-tafsir Ulamak-ulamak ahlus sunnah wa'l jamaah yang terkenal. Bagi mereka yang menolak tentang pendapat ini, cuba renungkan betul-betul dengan hati yang penuh tawadduk dan ikhlas, ikhlas, ikhlas! berserta niat yang benar, bertawajjuh kepada Allah untuk memberikan petunjuk yang benar.   


Pandangan dan Tafsiran Ulamak-ulamak Islam hari ini.

 I. Ulamak - ulamak dari Tanah Suci Arab
1. Di dalam bukunya "The Message of the Quran" (Utusan al-Quran) yang diterbit oleh the Muslim World League of Makka pada dahun 1964, penulisnya, Muhammad Asad menterjemahkan Surah 3 ayat 55 kepada Bahasa Inggeris seperti berikut :
        "Lo! God said: O Jesus! Verily, I shall cause thee to die, and exalt thee unto Me."
 Terjemahannya :
          "Allah berkata: 'Ya 'Isa, sesungguhnya Aku mewafatkan engkau dan meninggikan (darjat) engkau kepadaKu.."
 Surah 5:117 pula diterjemahkan seperti berikut :
"And I bore witness to what they did as long as I dwelt amongst them; but since Thou hast caused me to die, Thou alone hast been their keeper. For Thou art witness unto everything".
Terjemahannya :
"Dan Aku menjadi saksi atas mereka, selama aku hidup bersama mereka. Tatkala Engkau mewafatkan aku, Engkaulah mengawas mereka. Engkau menjadi saksi atas tiap-tiap satu."

Pada nota kaki kepada surah 4 ayat 157 (yang menyangkal penyaliban Nabi Isa), penterjemah ini telah memberi penjelasan seperti berikut :

"Begitulah al-Quran kononnya menafikan cerita penyaliban Hazrat Isa. Di kalangan umat Muslim terwujud banyak cerita-cerita dongeng iaitu kononnya disaat-saat terakhir Allah telah menggantikan Nabi Isa dengan seorang lain yang menyerupaibeliau (mengikut cerita sesetengah orang, orang itu Yudas, seorang pengikutnya). Orang ini telah mati disalib pula.
Tetapi, cerita-cerita dongeng ini tidak ada sokongan sedikit pun daripada al-Quran mahu pun daripada Hadith-hadith yang sahih. Oleh itu, segala-gala cerita ini yang dipergunakan oleh ahli-ahli tafsir klasik haruslah ditolak sebulat-bulatnya."
Nota kaki yang berikutnya pula mengandungi kata-kata :
"Tidak terdapat di mana-mana tempat di dalam al-Quran apa-apa alasan bagi menyokong pendapat sesetengah para Muslim bahawa Allah telah mengangkat jasad Nabi Isa secara jasmaniah kedalam Syurga."

2. Dalam Tafsir al-Qurannya, Ulamak Abdul Rahman Sa'di pula telah berkata bahawa :
"Allah telah memuliakan Isa dengan memperbanyakkan murid-muridnya di dunia ini, semasa hayatnya dan juga selepas kematiannya (mamat)."
(Tafsir al-Manan, diterbitkan di Makka)

II. Ulamak-ulamak dari Mesir.
1. Ulamak Mesir yang terkenal Mufti Muhammad Abduh mempercayai bahawa Isa telah meninggal dunia:
i. "Dalam kitab Tafsir al-Manar, guru dan Imam Muhammad Abduh, setelah mengambil maksud jelasayat tersebut dan menyatakan bahawa perkataan tawaffa di dalamnya membawa maksudnya yang jelas yakni  'membunuh'. 'Diangkatkannya' (raf'a) pula   mengikuti selepasnya dan ini pula bermaksud kemuliaan rohaniah."
(Qasas al-Anbiya oleh Abdul Wahab al-Najar, ms. 428)
ii.  "Tawaffa disini bererti membunuh atau mematikan seperti di fahami secara jelas dan biasa."
(Al-Manar)
2. Syaikh Mahmud Shaltut, bekas Mufti Besar Mesir dan bekas Rektor (Ketua universiti) Universiti al-Azhar, Kaherah, telah mengeluarkan satu fatwa seperti berikut:
i. "Tidak terdapat alasan (autoriti) berasaskan kepada al-Quran atau pun Sunnah yang boleh membenarkan kepercayaan  bahawa 'Isa telah diangkat ke Syurga dengan jasadnya dan beliau masih hidup disana dan beliau akan turun ke bumi dari sana pada Hari Qiyamat."
(Al-Fatawa, diterbitkan oleh Al-Idara al-‘Ama lil-Saqafat al-Islamiyya bil-Azhar, ms. 52-58)
ii. "Ayat-ayat al-Quran dalam nas tersebut (QS.4/157) menunjukkan bahawa Tuhan telah menjanjikan 'Isa bahawa beliau akan diwafatkan pada waktu yang ditetapkan, kemudian dimuliakan (diangkatkan) kepada hadhirat Allah (swt) sendiri dan seterusnya dilindungi daripada musuh-musuhnya. Janji ini sudah pun termakbul, Tuhan telah pun mewafatkan beliau dan seterusnya memuliakannya ke dalam hadirat Allah s.w.t."
(Al-Fatawa, diterbitkan oleh Al-Idara al-‘Ama lil-Saqafat al-Islamiyya bil-Azhar, ms. 52-58)

3. Al-Ustaz Mustafa al-Maraghi:
i.  Ustaz Mustafa memberi tafsirannya mengenai ungkapan, Ya 'Isa inna mutawaffi-ka
Dia menyatakan :
"Dalam ayat ini terdapat berita baik mengenai kejayaan `Isa di atas komplot musuh-musuh Yahudinya, serta hayat `Isa mencapai waktu penamatannya. Tawaffa membawa maksud kewafatan atau kematian sebagai insan di dunia ini. Dan raf`(kebangkitan) pula merujuk kepada keadaan roh selepas kematian. Maksudnya ialah "Saya akan mewafatkan ('mematikan') kamu (mumitu-ka), dan selepas kematianmu (maut) saya akan membawa kamu menaiki suatu kedudukan yang mulia di sisi Ku. Saperti mana Tuhan telah melakukan kepada Nabi Idris: 'Dia telah mengangkatkannya (iaitu Nabi Idris) kepada suatu kedudukan yang mulia'."
(Tafsir al-Maraghi, bahagian iii, ms. 165)
ii)  Surah Ali-Imran 3 ayat 14 berbunyi :

"Sesungghnya kamu (Muhammad) telah bercita-cita hendak mati sebelum menemuinya,sesungguhnya kamu sudah melihatnya, sedang kamu memperhatikannya."
Di dalam penjelasan ayat al-Quran ini, beliau telah menulis :"Ini bermaksud bahawa Nabi Muhammad itu hanya insan yang fana dan akan meninggal dunia seperti manusia yang lain juga. Ada rasul-rasul yang lain juga yang telah mati sama seperti manusia biasa yang lain. Ada yang telah mati dibunuh seperti Zakaria dan Yahya. Tiada ada satu pun di antara rasul-rasul Allah yang dapat hidup selama-lamanya. Jadi, jika Nabi Muhammad saw sendiri meninggal dunia,ini  sama sahaja seperti Musa, Isa (as) dan Nabi-nabi yang lain sebelumnya."
(Tafsir al-Maraghi, bahagian iv, ms. 87)

 4. Ulamak Muhammad Farid Wajadi pula memberi ulasan kepada pandangan para ahli tafsir dan  para pengkaji al-Quran yang lain seperti berikut:
"Ada ahli2 tafsir yang menyatakan bahawa Allah telah mematikan 'Isa sama seperti Dia menamatkan hayat manusia biasa yang lain. Kemudian rohnya diangkatkan ke Syurga.Ini dibuktikan oleh kata-kata: 'Inni mutawaffi-ka wa rafi'u-ka ilayya.'"
(Da’irat-ul-Mu‘arif, Islamic Encyclopedia, vol. vi,ms. 784)

III.  Ulamak-ulamak dari Lubnan dan negeri-negeri lain.
1. Ahli tafsir Lubnan yang terkenal Ahmad Al-`Ajuz bertulis :
"'Isa sememangnya sudah mengalami kematian mengikut firman Allah inni mutawaffi-ka yang bererti :'Saya akan mewafatkan kamu (mumitu-ka). Kematian (maut) adalah sesuatu yang semestinya berlaku, seperti mana Allah telah mengucap melalui mulut Hazrat `Isa (as) sendiri:'Salam sejahtera bagiku pada hari aku dilahirkan, pada hari aku diwafatkan dan pada hari aku dibangkitkan hidup semula'."
Ditandatangani oleh : Ahmad Al-`Ajuz.

 2. Al-Ustaz Abdul Karim al-Sharif telah menulis:
"Seperti mana disebut di dalam al-Quran, Tuhan telah menyebabkan kewafatan Al-Masih `Isa secara jasmani, dan telah membangkitkan beliau kedalam hadhirat ilahiNya, serta telah menyucikannya sama sahaja seperti Dia menamatkan hayat kita, kemudian diangkat dan disucikan roh-roh kita."
(Al-Nafkhat al-Ula min al-Ta’wil)

3. Al-Ustaz Abdul Wahab al-Najjar memberi tafsirnya mengenai ayat-ayat al-Quran :
Kuntu ‘alai-him shahid-an ma dumtu fi-him (5:117), seperti berikut :
"Isa telah menjadi saksi keatas semua pengikut-pengikutNya selama dia berada bersama-sama dengan mereka serta mengajarkan mereka firman Allah sehingga kematiannya (wafat). Selepas itu, Tuhanlah yang menjadi saksi diatas mereka."
(Qasas al-Anbiya, Edisi ke-4, 1956)
Tuhan mahakuasa sendiri telah menyentuh perkara kewafatan Nabi `Isa secara khusus; selepas Nabi `Isa naik doanya mengenai kewafatan beliau, Tuhan telah memberi jawapanNya seperti berikut :
"Allah berkata: 'Ya 'Isa, sesungguhnya Aku mewafatkan engkau dan meninggikan (darjat) engkau kepadaKu  dan menyucikan engkau dari orang-orang kafir dan menjadikan pengikut2 engkau diatas mereka yang kafir sampai hari kiamat.."
Surah 3 Ali Imran ayat 55

Dari ayat-ayat ini Allah telah memberi `Isa empat janji-janji, yaitu :
1."Diwafatkan oleh Tuhan sendiri" yaitu mengalami kematian ditangan serta dengan kebenaran Tuhan,
2."Darjat beliau akan ditinggikan ke hadhirat Allah (raf `a)" oleh Allah sendiri,
Yakni beliau akan menikmati keadaan bersama-sama kehadhiran Tuhan. Pada hakikatnya ungkapan raf `a (- kemuliaan) itu membawa erti yang bertentangan dengan wad `a (kehinaan).
3."Menyucikan Engkau dari orang-orang kafir (tathir)", iaitu beliau akan dibenarkan oleh Allah dari segala tuduhan-tuduhan musuh-musuh beliau.
4."Menjadikan pengikut2 engkau diatas mereka yang kafir sampai hari kiamat." Pengikut2 Hazrat `Isa akan sentiasa mengatasi musuh-musuh mereka serta para ahli kafir sehingga hari Kiamat!
Ayat-ayat diatas membuktikan tanpa apa-apa keraguan lagi bahawa al-Masih `Isa sudah pun mengalami kewafatan. Oleh kerana raf `a itu hanya berlaku setelah segala-gala lapisan-lapisan dan penghindar - penghindar jasmaniah yang lain telah dihapuskan. Setiap insan yang salih dianugerahkan dengan raf `a setelah tamat hayatnya. Rasullullah sendiri telah bersabda :
"Tatkala seorang yang beriman menghadapi kematiannya, datanglah malaikat maut kepadanya.Jika dia seorang yang salih, mereka akan berkata kepada rohnya : 'Wahai roh yang tidak tercela, keluarlah, kamu berada di dalam tubuh yang bersih'...Jadi, roh itu akan keluar dari tubuh itu, lalu diangkat ke Syurga dan pintu-pintu Syurga akan dibuka baginya."
(Mishkat)

Jadi, apabila seorang beriman yang salih meninggal dunia, malaikat-malaikat akan mengangkat rohnya ke Syurga. Inilah apa yang telah jadi kepada `Isa sendiri, jadi selepas wafatnya `Isa a.s., roh beliau telah diangkat ke Syurga seterusnya menganggotainya bersama-sama dengan penghuni-penghuni salih yang lain di Syurga yang sudah pun meninggal dunia.

Oleh yang demikian, Tuhan sudah pun memenuhi semua janji-janjiNya kepada `Isa a.s. Tuhan telah mendengarkan doa `Isa itu, beliau telah diwafatkan dengan kebenaran Tuhan, kemudian selepas kematiannya, `Isa al-Masih diangkat masuk ke dalam hadhirat Allah, dan seterusnya diberi kemenangan ke atas musuh-musuhNya, serta murid-murid al-Masih `Isa sentiasa diberi kemenangan diatas musuh-musuh mereka dan para ahli kafirun!

Maksudnya Tawaffa

Kamus-kamus Bahasa Arab menerangkan bahawa tawaffa Allahu-fulan-an, yaitu Tuhan telah melakukan tawaffa keatas seseorang .., bererti bahwa Allah telah mengambil nyawa (Roh) seseorang itu dan telah mematikan orang itu.

Demikianlah maksudnya telah yang di berikan di dalam Taj l-'urus, Al-Qamus, Surah dan Asas al-Balaghah, serta Al-Sihah dan Kullyat Abi-l-Baqa.

Dari ayat-ayat di atas (QS 5/117), Hazrat `Isa telah bercakap mengenai dua waktu yang tertentu lagi berlainan. Waktu yang pertama disebutnya dalam ungkapan "Selama aku berada bersama-sama dengan mereka".

Dan waktu yang keduanya apabila "(Hanya) Engkaulah (yang) mengawas mereka." "Mereka" itu adalah murid-murid dan pengikut-pengikut `Isa -yakni umat Kristian. Waktu yang pertama (apabila al-Masih `Isa berada bersama-sama umatnya) telah beralih dan bertukar menjadi waktu yang kedua (apabila hanya Allah swt mengawasi murid-murid `Isa a.s.) setelah terjadinya tawaffaitani atau `Isa telah diwafatkan (dimatikan) dengan kebenaran Tuhan.

IV. Sumber-sumber daripada Hadith-hadith Sahih

Sekarang, marilah kita mengkaji hadith-hadith yang dilapurkan mengenai Nabi Muhammad (saw).

Beliaulah pengantara serta pentafsir yang paling utama bagi wahyu-wahyu dalam al-Quran. Setelah mengkaji ulasan-ulasan Nabi sendiri, kita bolehlah membuat kesimpulan yang paling muktamad tanpa apa-apa kemusykilan lagi! Lagi pun setiap umat Islam haruslah menunduk dan menerima kesimpulan yang muktamad ini.

(i) Hadith yang Pertama : Maksudnya Tawaffa.

Ibni Abbas telah membuat lapuran bahawa Nabi Agung pernah berkhutbah:
"Wahai umatku! Kamu akan semua dikumpul menghadapi Tuhanmu (pada hari Qiyamat)...dan ada diantara kalangan kamu yang akan diheret ke neraka. Saya akan berkata:
'Ya Allah, mereka ini adalah umatku'. Maka jawapanNya akan berbunyi: 'Kamu tidak mengetahui perbuatan-perbuatan mereka selepas permergian kamu'. Kemudian saya akan menjawab seperti hamba Tuhan yang salih itu (yaitu `Isa), 'Aku menjadi saksi atas mereka, selama aku hidup bersama mereka.(Tetapi) tatkala Engkau mewafatkan aku (tawaffaitani), Engkaulah mengawas mereka. Engkau menjadi saksi atas tiap-tiap satu.'"
(al-Bukhari, Kitab al-Tafsir, bahagian Surah Ma'idah)

 Kata-kata terakhir Rasulullah ini ('Aku menjadi saksi atas mereka...') dipetik daripada al-Quran, Surah 5 ayat 117, di mana al-Masih `Isa dipetik sebagai menjawab dengan kata-kata sedemikian rupa pada hari Qiyamat. Semua umat Islam mempersetujui bahawa bila kata-kata tersebut telah dipakai oleh Rasulullah sendiri dalam lapuran Hadith ini, maksud tawaffaitani di sini adalah "Engkau
telah mewafatkan aku." Jadi, ungkapan ini semestinya membawa maksud yang sama apabila telah digunakan oleh `Isa, yakni; ini bermaksud yang `Isa itu telah diambil daripada umatnya melalui kematian beliau, tidak pula dengan diangkat ke Syurga secara hidup-hidup.

(ii) Hadith yang Kedua : Semua Nabi-nabi kena Wafat (Mati)

Semasa Nabi sakit tenat, serta sebelum kewafatannya dia telah memasuki masjid dengan ditunjang oleh dua orang penolongnya dan telah memberi khutbahnya seperti berikut :

"Wahai Umatku! Telah saya mendengar yang kamu semua takut akan kewafatan Nabi-mu. Adakah mana-mana Nabi sebelum saya yang masih belum lagi mati ? Patutkah saya diharapkan untuk hidup selama-lamanya di antara kamu? Dengarlah! Sedikit masa lagi saya akan bersama-sama dengan Tuhan saya...Jadi, saya memohon supaya kamu semua melayani para muhajir yang akan datang dengan eloknya."
(Al-anwar ul-Muhammadiyya min al-Muwahib al-Ladinya, Mesir, m.s. 317)
Hadith ini mengesahkan maksud tiga ayat-ayat al-Quran yang berikut :
"Muhammad itu tidak lain, (dan) hanya seorang rasul (utusan), sesungguhnya telah terdahulu beberapa orang rasul sebelumnya (yang sudah mati atau terbunuh)."
QS 3 ayat 144

 "Bukanlah Kami jadikan manusia sebelum engkau yang kekal abadi..."
QS 21 ayat 34 dan
"...Dan bukan pula mereka (para Nabi-nabi) itu kekal abadi."
QS 21 ayat 8.
Jika adanya mana-mana Rasul yang masih hidup atau belum lagi mengalami kematian, sudah tentu Rasullullah tidak akan menyebut kata-kata di atas. Jadi, kesimpulannya yang muktamad adalah: al-Masih `Isa sudah pun mengalami kewafatan beliau.

(iii) Hadith yang Ketiga : Perbincangan Rasullullah dengan rombongan Kristian dari Najran

"Apabila satu rombongan seramai enam-puluh orang umat Kristian dari Najran telah menziarahi Nabi Muhammad, Imam besar mereka berbincang dengannya tentang status `Isa serta siapakah ayahandanya. Rasul Tuhan telah menanyakan bahawa "Tidakkah seorang anak akan menyerupai bapanya?" Mereka menjawab: "Ya." Kemudian dia menyatakan:'A lastum ta‘lamuna anna rabbana la yamutu wa anna Isa ata ‘alaihi-l-fana', yaitu "Tidakkah kamu tahu yang Tuhan kita kekal abadi tetapi al-Masih `Isa telah pun meninggal dunia ?"
(Asbab an-nuzul, oleh Imam Abu-l-Hasan Ali ibn Ahmad al-Wahidi dari Neshapur, diterbit di Mesir, m.s. 53)
Begitu terang dan jelasnya Nabi Islam, Muhammad, sendiri telah pun memberi pengesahannya tentang hakikatnya kewafatannya Isa al-Masih itu! Jadi, kita seharusnya janganlah ragu-ragu lagi hakikat serta kebenaran peristiwa kewafatan `Isa, kerana pengesahan peristiwa ini datangnya dari mulut Nabi Islam sendiri!

Kenapakah semua umat manusia di dunia ini mengalami maut? Bagaimanakah kewafatan al-Masih `Isa pula menjadi satu tebusan bagi segala umat manusia? Marilah kita memperhatikan penjelasan daripada Injil tentang penyelesaian yang telah datang melalui al-Masih `Isa sendiri.
Maut atau kematian itu adalah satu pengalaman sejagat setiap insan di dunia ini! Tidak ada seorang pun yang dapat lari daripada hakikat kematian itu. Injil menjelaskan bahawa : 

"Maut atau kematian itu adalah akibat dan upah daripada dosa-dosa kita semua." (Roma 6:23).
Semua ini dipersetujui Al-Quran dalam Surah Al-Imran 3:45, Surah Az-Zukhruf :61,63-"Sesungguhnya 'Isa itu memberitahukan Hari Kiamat, sebab itu janganlah kamu ragu-ragu tentang itu...", juga Surah an-Nisaak 4 ay.159 dan juga Hadis-hadis sohih al-Bukhari dan Muslim : "Sesungguhnya akan turun kepadamu 'ISA ibnu Maryam menjadi Hakim yang adil" (H.Bukhari 1090, H.S.Muslim Jilid 1 hal.74), serta "Tidak ada Imam MAHDI selain 'Isa Putera Maryam" (H.Ibnu Majah).

Jadi kesimpulannya ialah, kewafatan 'Isa al-Masih ibnu Maryam dua ribu tahun dahulu sudah pun di tentukan hakikatnya serta disahkan oleh kata-kata Nabi, hemat dan pentafsiran alim-ulamak yang waraq seperti Imam Sheikh Shaltut dari Al-Azhar, serta imam-imam utama dari negeri-negeri Islam yang lain, juga oleh Hadis-hadis yang sahih serta kenyataan-kenyataan dari mulut Nabi Muhammad sendiri. Kita seharusnya menolak cerita yang dipelopori sesetengah pihak yang kononnya sahabat 'Isa telah ditukarkan wajahnya itu mirip wajah 'Isa al-Masih lalu disalibkan, sementara 'Isa dengan jasadnya telah diangkat hidup-hidup ke Syurga! Cerita ini berlandaskan kepada teori yang tidak berasas serta dongeng-dongeng pembidaah yang karut. Lebih lebih lagi hujah ini bertentangan bulat-bulat dengan tafsiran dan keterangan yang diberi oleh alim ulamak diatas serta Fatwa yang dikeluarkan Imam Shaltut dari Al-Azhar yaitu :

"Tidak terdapat alasan (autoriti) berasaskan kepada al-Quran atau pun Sunnah yang boleh membenarkan  kepercayaan  bahawa 'Isa telah diangkat ke Syurga dengan jasadnya dan beliau masih hidup disana...  Ayat-ayat al-Quran dalam nas tersebut (QS.4/157) menunjukkan bahawa Tuhan telah menjanjikan 'Isa bahawa beliau akan diwafatkan pada waktu yang ditetapkan, kemudian dimuliakan (diangkatkan) kepada   hadhirat Allah (swt) sendiri dan seterusnya dilindungi daripada musuh-musuhnya. Janji-janji ini sudah pun termakbul dan ditepati-Nya, Tuhan telah pun mewafatkan beliau dan seterusnya memuliakannya ke dalam hadirat Allah s.w.t."  (op cit.)

Apakah lagi bila kita mengkaji secara ikhlas dan mendalam, kesaksian yang dibawa oleh Nabi Islam, Muhammad sendiri mengenai kenyataan-kenyataan beliau yang menyentuh hakikat kewafatan al-Masih 'Isa ibnu Maryam dari hadis-hadis diatas.

Rujukan Hadis yang pertama dan kedua :  yaitu Nabi Muhammad telah merujuk kepada kewafatannya sendiri dengan memakai ungkapan falamma tawaffaitani.Al-Quran telah menggunakan perkataan yang sama bila merujuk kepada kewafatan 'Isa al-Masih, jadi sudah jelaslah buktinya yang 'Isa sendiri sudah pun mengalami mautnya yakni kewafatannya.

Rujukan Hadis yang ketiga : perbincangan Nabi dengan rombongan Kristian dari Najran sudah pun membuktikan bahawa Nabi Muhammad juga memegang kepada hakikat bahawa al-Masih 'Isa itu sudah pun wafat.

No comments:

Post a Comment